Tindakan yang boleh dikenakan Plagiat

Akademia

Dalam dunia akademik, penciplakan oleh pelajar merupakan kesalahan berat yang boleh dikenakan hukuman seperti diberikan gred gagal pada kerja kursus yang dilakukan (di peringkat sekolah) ataupun bagi subjek yang diambil (bagi peringkat universiti). Bagi kes penciplakan berulang (seperti menghantar hasil kerja orang lain yang ditiru dan dijadikan hasil kerja sendiri), pelajar tersebut boleh digantung atau dibuang universiti. Kebanyakan pelajar berasa tertekan untuk menyiapkan kertas kerja yang baik pada masa yang ditetapkan, maka melalui capaian kepada teknologi baru (khususnya Internet) pelajar boleh menciplak dengan mudah melalui kaedah "salin dan tampal" dari sumber lain. Kaedan sebegini sangat mudah dikesan oleh guru atau pensyarah atas beberapa sebab. Pertama, kekerapan pemilihan sumber yang tidak asli oleh pelajar berkenaan; pensyarah sering membaca perenggan sama yang disalin daripada sumber popular oleh beberapa orang pelajar. Kedua, biasanya agak mudah untuk memastikan sama ada pelajar menggunakan "suara" sendiri ataupun tidak". Ketiga, pelajar mungkin memilih sumber yang tidak sesuai, terkeluar daripada tajuk, ataupun mengandungi maklumat salah. Keempat, sesetengah pensyarah mungkin menggunakan perisian pengesan penciplakan dalam talian bagi memeriksa kerja kursus para pelajar.[3]

Di kebanyakan universiti, ijazah atau sijil akademik boleh dibatalkan sebagai hukuman kepada pelajar yang menciplak.

Bagi kalangan profesor dan penyelidik, penciplak biasanya dihukum melalui sekatan yang merangkumi daripada penggantungan sehinggalah kepada pemberhentian, bersama-sama kehilangan kredibiliti dan integriti masing-masing.[4][5] Dakwaan memplagiat yang dilakukan oleh pelajar dan profesor selalunya dibawa ke lembaga tatatertib dalaman universiti.[6]

Kewartawanan

Oleh kerana bidang kewartawanan memerlukan kepercayaan orang ramai, kegagalan wartawan untuk menyatakan sumber-sumber mereka akan menjejaskan integriti dan kredibiliti bagi sesebuah akhbar dan rancangan televisyen. Wartawan yang dituduh menciplak seringkali digantung daripada tugas kewartawanan.[7]

Teks elektronik yang mudah dihasilkan semula daripada sumber-sumber dalam talian seringkali memerangkap sebilangan wartawan untuk melakukan penciplakan: Terdapat wartawan yang ditangkap kerana menghasilkan rencana "salin dan tampal" daripada beberapa laman web.